Seramai 135,000 rakyat Malaysia pada usia produktif hidap sakit sendi rheumatoid arthritis ARTHRITIS dan penyakit yang berkaitan dengan otot, adalah antara punca utama morbiditi atau masalah kesihatan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Malangnya, tidak ramai yang tahu secara mendalam mengenai penyakit ini sehinggalah ia dialami oleh diri sendiri atau ahli keluarga. Tidak kurang juga yang mungkin memandang ringan terhadap penyakit ini dan menganggapnya sekadar sakit sendi biasa biarpun hakikatnya ini boleh menjejaskan kualiti hidup individu itu serta kegiatan sehariannya.
Secara umumnya, arthritis berpunca disebabkan radang pada sendi dan perubahan struktur sendi yang kemudian menjejaskan kehidupan pesakit. Kebanyakan pesakit menghidapnya bagi tempoh yang lama atau ia mungkin terjadi sebagai penyakit kronik. Penyakit arthritis yang biasa adalah rheumatoid arthritis (RA), osteoarthritis dan ankylosing spondylitis (masalah struktur tulang belakang). Walaupun lazimnya ia dikenali arthritis atau radang sendi, setiap penyakit memiliki manifestasi sendiri dan dialami kumpulan usia berbeza. RA misalnya menyebabkan kesakitan, menyekat keupayaan fizikal dan menjejaskan kehidupan pesakit mahu pun ahli keluarganya.
Presiden Yayasan Arthritis Malaysia, Dr Amir Azlan Zain, berkata kebanyakan pesakit yang menghidap RA adalah dalam usia bekerja dan kesakitan itu mula ketara apabila pesakit mencecah usia persaraan. “RA tidak hanya menjejaskan sendi, tetapi turut dialami kira-kira satu peratus penduduk Malaysia. Malah ada kira-kira 135,000 penghidap RA di Malaysia. “Penghidap tidak hanya mengalami sakit sendi dan sukar bergerak, malah turut menjejaskan mutu kerja, sentiasa cuti sakit dan terpaksa bergantung pada orang lain,” katanya. Malah ia turut memerlukan kos rawatan tinggi terutama di kalangan pesakit yang menderita bagi jangka masa yang lama. Jumlah wang dibelanjakan bukan hanya untuk ubat-ubatan dan bil hospital tetapi meliputi rawatan pemulihan dan menggaji pengasuh.
Maklumat Statistik Ubat Malaysia 2005 mendapati, kos ubat untuk RA ialah RM50.7 juta manakala jumlah kos tidak langsung dianggarkan kira-kira RM202.8 juta atau empat kali ganda berbanding kos langsung. Justeru, pengesanan dan rawatan awal RA amat penting dan ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan imbasan ultrasound atau imbasan resonan magnetik (MRI). Namun, kos imbasan MRI menelan belanja yang tinggi. Satu pilihan untuk pesakit RA adalah melakukan imbasan ultrasound rangka otot. Kosnya murah berbanding MRI dan ia boleh mengesan sendi yang radang.
Diagnosisnya lebih tepat terutama di peringkat awal penyakit, sekali gus membantu petugas perubatan memantau kesan rawatan ke atas pesakit. Pakar Rheumatologi, Universita Politecnica delle Marche, Itali, Prof Walter Grassi berkata, dalam dunia perubatan rheumatologi, teknologi imbasan sudah dikenal pasti membantu pesakit. Imbasan ultrasound rangka otot (MSUS) membantu diagnos dan merawat keadaan kesihatan dengan memberi imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh. “Melalui MSUS, perubahan struktur sendi pada peringkat awal dapat dikesan. Mesin imbasan ultrasound membantu mengesan sendi bermasalah serta tisu lembut di sekelilingnya. Kaedah ini disifatkan tidak mahal dan mengelak pendedahan radiasi,” katanya. Pengesanan dan rawatan awal RA penting untuk mencegah penyakit daripada menjadi kronik dan mengurangkan beban sosio ekonomi negara.
Imej imbasan jari jemari yang diserang RA.
“Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA pada peringkat awal. Kemajuan mesin pengimbas membantu pakar rheumatologi memberi maklumat lebih baik dan tepat. Ia juga memberikan rawatan yang sewajarnya untuk mengawal penyakit,” katanya. Grassi berkata, MSUS dapat membantu terutama bagi mengesan hakisan awal pada sendi, menilai keradangan pada tisu kenyal sinovia pada sendi, memantau kesan rawatan selain menilai keadaan radang antara otot tulang dan tulang. Sebenarnya, bagi dunia perubatan antarabangsa, mesin imbasan rangka otot ini sudah lama diperkenalkan dan terbukti membantu petugas perubatan melihat imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.
Cuma di Malaysia, MSUS agak asing kerana baru diperkenalkan. Ia bagaimanapun sudah ditempatkan di beberapa hospital utama di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak dan Sabah. Antaranya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Selayang dan Hospital Seremban. RA cenderung berlaku kepada wanita RA adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat dalam badan. RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang sendi kecil khusunya jari (tangan dan kaki) dan pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup.
Ada 23.7 juta penghidap RA di seluruh dunia manakala di Malaysia pula dianggarkan seramai 135,000 pesakit. RA antara dua hingga tiga kali lebih cenderung terjadi pada wanita berbanding lelaki. Umumnya, RA muncul antara usia 40 ke 60 tahun. Namun RA juga boleh menyerang kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 60 tahun. Tiada ubat untuk RA. Cuma, dengan rawatan yang teratur sendi boleh dilindungi daripada sendi mengalami kerosakan kekal.
Biasanya mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup lebih produktif antara pelan mengurus RA. RA yang progres sifatnya menyebabkan sel synovial (sel antara tulang dan sekitar sendi yang menghasilkan cecair melincirkan sendi) menjadi tidak normal. Ia masuk ke dalam rawan sendi dan menjejaskan otot, ligamen juga tendon di sekeliling sendi yang secara lazimnya bekerja menyokong dan menstabilkan sendi. Radang sendi yang kronik disebabkan RA boleh menyebabkan otot, ligamen dan tendon menjadi lemah menyebabkan ia tidak boleh berfungsi.
Setakat ini RA tidak boleh diubati. Rawatan RA tertumpu pada mengurangkan keradangan pada sendi bagi memperlahankan kerosakan sendi dan melegakan kesakitan. Selain ubat-ubatan, rawatan RA juga mungkin membabitkan pembedahan bagi kes kerosakan sendi yang serius.
INFO Simptom RA
1. Sakit sendi
2. Sendi bengkak
3. Sendi sakit apabila disentuh
4.Tangan bengkak dan merah
5. Ada benjol keras di lengan
6. Penat
7. Kekejangan pada sendi sekurang-kurangnya 30 minit pada waktu pagi dan mula surut apabila hari mula meninggi
8. Demam
9. Berat badan turun
No comments:
Post a Comment