Thursday, August 13, 2009

H1N1 TIDAK HALANG MALAYSIA ANJUR PARA ASEAN



Zainal Abu Zarin (barisan belakang dua dari kanan) bersama ketua-ketua kontinjen negara-negara ASEAN menunjukkan lencana bebas tembakau selepas sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Utusan/Abdul Nazir Mohamed





KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur sekali lagi akan menjadi tumpuan apabila kira-kira 1,200 atlet paralimpik hadir untuk beradu kehebatan dan kemampuan masing-masing pada Sukan Para ASEAN kelima (KL'09) yang bermula, esok.

Temasya sukan dwitahunan itu adalah temasya sukan terbesar bagi atlet paralimpik di rantau ini dan ia melibatkan penyertaan atlet dari 10 buah negara anggota ASEAN dan Timor Leste.

Walaupun kini dunia dilanda penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), namun 11 negara itu mengetepikan kebimbangan itu untuk menjayakan temasya sukan berkenaan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN (KLAPGOC) berkata, saringan kesihatan atlet-atlet di negara masing-masing termasuk di Malaysia merupakan langkah awal bagi mengelakkan wabak itu daripada tersebar semasa kejohanan tersebut.

"Semua atlet dan pegawai kontinjen akan menjalani saringan kesihatan yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Katanya, semua langkah awal yang diambil adalah bagi memastikan KL'09 bebas daripada penularan H1N1, dengan antaranya meminta setiap anggota kontinjen luar mengemukakan sijil kesihatan bebas daripada wabak tersebut dari negara masing-masing.

"Kalau boleh, MPM mahu saringan kesihatan terhadap kontinjen luar dilakukan berasingan serta lebih teliti dan bukan bersama dengan orang awam yang lain.

Ini bagi memastikan anggota kontinjen luar yang tiba benar-benar bebas daripada wabak tersebut," katanya.

Zainal berkata, wabak tersebut merupakan ancaman di seluruh dunia termasuk rantau Asia Tenggara dan tidak tertumpu di sesebuah negara sahaja.

Ini adalah kali kedua Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Para ASEAN.

Kali pertama Malaysia menganjurkannya ialah pada 2001.

Pada edisi pertama itu, hanya dua acara sukan dipertandingkan iaitu olahraga dan renang, di mana Malaysia muncul juara keseluruhan.

Dengan tema 'ASEAN Bergerak Bersama' (ASEAN Moving Together), temasya dwi-tahunan itu yang akan berlangsung hingga 19 Ogos ini bertujuan menggalakkan persahabatan dan pembangunan sukan serta mengintegrasikan golongan itu ke dalam masyarakat ASEAN.

Pada edisi kelima temasya sukan itu kali ini, sebanyak 730 pingat emas ditawarkan melalui 11 acara iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, powerlifting, catur, boling, pelayaran, tenis kerusi roda, bola keranjang kerusi roda dan bola tampar duduk.

Beberapa gelanggang sekitar Lembah Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan telah dipilih bagi menjayakan temasya kali ini.

No comments:

Post a Comment