Wednesday, August 19, 2009

Ubat Bukan Halangan Berpuasa

TAHUN ini, Ramadan 1430 Hijrah jatuh di antara bulan Ogos dan September 2009. Di pertengahannya, kita juga bakal menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 dalam suasana berpuasa.
Ramadan tahun ini hadir di ketika negara dibelenggu satu ancaman virus baru yang telah meragut berpuluh nyawa warganegara Malaysia, virus Influenza A H1N1.
Namun, kehadiran virus punca selesema babi ini bukan satu-satunya ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.


Seperti mana yang telah dimaklumkan pihak berwajib, antara mereka yang paling berisiko mengalami komplikasi akibat H1N1 adalah pesakit yang menghidap penyakit kronik.
Pesakit sebegini bukan sahaja bergantung hidup kepada ubat, kesan penyakit dan pengambilan ubat itu sendiri telah meninggalkan kesan sehingga pertahanan badan menjadi lemah.
Penyakit kronik juga kini semakin mengatasi kehadiran penyakit berjangkit memandangkan kesan berpanjangan dan berterusan penyakit-penyakit berkenaan.



Ruji ubat
Bagi kebanyakan pesakit kronik, ubat boleh dikatakan antara makanan ruji bagi mereka, yang perlu diambil sepanjang masa, mengikut keperluan dan tahap kesihatan masing-masing.
Pergantungan kepada ubat bukan sahaja telah merantai pesakit kepada satu cara kehidupan khusus, mereka juga menghadapi kesukaran melakukan perkara biasa yang dianggap remeh oleh individu yang sihat dan kuat.


Ubat yang diambil juga kadangkala meninggalkan kesan negatif ke atas badan tetapi tetap perlu diambil bagi mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.
Dalam situasi pergantungan kepada ubat, amalan wajib seperti berpuasa di bulan Ramadan juga menghadapi kesukaran.
Menahan dari lapar dan dahaga antara 10 hingga 13 jam selama 30 hari tidak begitu mudah bagi mereka yang bergantung kepada pengambilan ubat untuk mengawal paras gula darah, tekanan darah, kesakitan kronik mahupun masalah sistem penghadaman.
Sehinggakan ada yang dinasihatkan, mahupun dilarang berpuasa sama sekali!


"Terdapat beberapa kumpulan utama pesakit yang tidak digalakkan atau tidak boleh berpuasa. Yang paling biasa dihebahkan adalah pesakit gastritis (gastrik) yang teruk dan penghidap penyakit kronik yang tidak terkawal.
"Bagaimanapun, pesakit yang perlu mengambil ubat pada masa atau situasi khusus juga tidak terke cuali. Puasa juga tidak digalakkan bagi pesakit yang mungkin membahayakan diri akibat kekurangan air atau nutrien," jelas Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC).
Menurut beliau, pesakit gastrik yang teruk mungkin tidak mampu berpuasa walaupun cuma untuk beberapa jam.


Penghidap penyakit kronik tidak terkawal pula biasanya melibatkan diabetes atau tekanan darah tinggi (hipertensi) yang teruk.
"Penghidap diabetes yang mengambil insulin menjadi contoh pengguna ubat pada masa yang khusus.


"Ini kerana pengambilan insulin kebiasaannya perlu diikuti dengan pengambilan makanan supaya kandungan gula dalam darah tidak terlalu rendah," katanya.
Tambah Dr. Abdul Malik, selain tiga kumpulan tersebut, pesakit yang menghadapi risiko bahaya ke atas kesihatan diri dan nyawa juga perlu menimbangkan pilihan berpuasa atau tidak.
"Sebagai contoh, pesakit yang muntah dan cirit kehilangan banyak air. Pesakit yang dijangkiti denggi dan mereka yang demam juga memerlukan air secukupnya.
"Oleh itu, mereka tidak digalakkan berpuasa sehinggalah penyakit tersebut tidak lagi membahayakan nyawa," tegasnya.


Puasa ubat
Dr. Abdul Malik menerangkan bahawa pengambilan ubat di kalangan pesakit kini lebih ringkas dan mudah berbanding beberapa tahun sebelumnya.
"Kebanyakan syarikat farmasi kini cuba mengurangkan bilangan ubat yang perlu diambil pesakit setiap hari.
"Langkah ini bukan sahaja untuk meringkaskan dan memudahkan pesakit mengambil ubat, malahan dapat meningkatkan kepatuhan pesakit kepada jadual rawatan dan dos ubat yang diperlukan."


Beliau menjelaskan pesakit yang hanya perlu mengambil ubat sekali atau dua kali sehari juga kurang menghadapi masalah untuk berpuasa.
"Golongan ini boleh mengalihkan pengambilan ubat di waktu pagi, ketika sahur, dan malam, ketika berbuka," katanya.
Sementara itu, penghidap penyakit kronik yang dapat mengawal perkembangan penyakit tersebut juga kini mampu berpuasa.
Dr. Abdul Malik menyatakan pesakit diabetes yang terkawal kini boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.
"Kebiasaannya pesakit diabetes mengambil dua dos ubat setiap hari, dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.
"Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.


Beliau menjelaskan dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil untuk bersahur.
Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis, ketika berbuka puasa.
Perkembangan semasa juga memungkinkan pesakit diabetes yang bergantung kepada insulin untuk menyesuaikan pengambilannya pada waktu sahur dan berbuka.
Dari segi pengambilan antibiotik pula, Dr. Abdul Malik memaklumkan bahawa hanya tinggal satu atau dua jenis antibiotik yang perlu diambil sehingga empat kali sehari.
"Kebanyakan antibiotik baru hanya memerlukan pengambilan satu atau dua kali sehari, dengan tumpuan kepada pesakit mematuhi arahan pengambilan ubat."


Kesan puasa
"Bila bulan puasa (Ramadan) tiba, (kawalan) gula saya memang cantik."
Itu menjadi antara ayat lazim pesakit yang dimaklumkan kepada Dr. Abdul Malik.
Beliau mengakui paras gula pesakit diabetes biasanya lebih mudah terkawal di bulan puasa (Ramadan), terutamanya jika mereka tidak melahap makanan yang manis dan tinggi karbohidrat ketika berbuka.


"Kekurangan jumlah dan waktu makan turut mengurangkan pergantungan kepada ubat untuk mengawal paras gula pesakit.
"Bagaimanapun, pesakit diabetes perlu berhati-hati ketika berbuka memandangkan menjadi satu kebiasaan pengambilan banyak makanan manis ketika berbuka," tegasnya.
Pelbagai pilihan makanan di bazar Ramadan mungkin akan merambangkan mata. Banyak kuih yang dijual sama ada manis atau tinggi kandungan karbohidrat.
Amalan pemakanan tempatan bagaimanapun menunjukkan kuih yang manis ini menjadi antara hidangan wajib ketika berbuka.
Dr. Abdul Malik menekankan bahaya jika pesakit diabetes mengambil terlalu banyak makan manis ketika berbuka puasa.


"Walaupun pesakit diabetes boleh mengambil ubat selepas berbuka, adalah lebih baik jika mereka mengambil makanan secara sederhana.
"Amalkan mengambil makanan dalam jumlah kecil, sekadar untuk merasa, dan kalau boleh elakkanlah makanan yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah."
Beliau turut menggalakkan pengambilan roti atau nasi bersama sayur segar, di samping buah-buahan segar bagi memastikan tahap kesihatan pesakit terjaga.
"Bersahur amatlah digalakkan untuk penghidap penyakit kronik. Jika tidak berselera, cukuplah dengan memakan sedikit roti bersama ubat.
"Jika bangun cuma untuk makan ubat sahaja juga boleh. Bagaimanapun, pastikan makan sedikit jika mengambil ubat untuk diabetes atau ubat tahan sakit (memberi kesan kepada perut)," katanya.


Selain ubat dan menjaga pemakanan, pesakit juga boleh mengamalkan sedikit senaman ringkas.
"Senaman boleh dilakukan sebelum atau ketika hampir waktu berbuka, senaman ringan seperti aerobik ataupun berjalan.
"Senaman juga boleh dilakukan selepas waktu berbuka, iaitu di waktu malam. Pesakit bagaimanapun tidak digalak melakukan senaman berat kerana dikhuatiri kehilangan banyak air, sehingga menjejaskan badan!"


Patuhi arahan
Walaupun puasa bagi penghidap penyakit kronik bukan semudah untuk individu sihat, perkembangan perubatan kini membolehkan pesakit berpuasa tanpa masalah besar.
Bagaimanapun, Dr. Abdul Malik mengingatkan pesakit supaya tidak mengabaikan pengambilan ubat di bulan puasa.


"Jika terlupa mengambil ubat di waktu berbuka, tidak membawa masalah besar (banyak masa sehingga sahur).
"Tetapi, jika tertinggal ubat di waktu sahur, mungkin ada sedikit masalah (perlu tunggu sehingga waktu berbuka)."
Walaupun kesan terhadap diri pesakit hanya jelas selepas beberapa kali atau beberapa hari tidak mengambil ubat, pesakit tidak sepatutnya terus menerus 'terlupa' pengambilan ubat.
"Pesakit masih boleh berpuasa jika terlupa mengambil ubat sekali, tapi jangan dibuat selalu, jangan jadikan amalan," tegasnya.
Beliau turut menyarankan pesakit yang menghidap gastrik, pada hari biasa atau ketika Ramadan, untuk berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah besar dalam sistem penghadaman.


Jadual pengambilan ubat di bulan puasa juga tidak boleh dibuat sesuka hati. Dr. Abdul Malik menegaskan setiap pesakit perlu mendapatkan pandangan dan nasihat doktor pakar terlebih dahulu sebelum mengatur semula masa dan cara pengambilan ubat untuk berpuasa.
"Sebaik-baiknya, jumpa doktor dahulu untuk bertanya bagaimana mengubah cara pengambilan ubat semasa bulan puasa, mengikut keperluan individu pesakit dan penyakit yang dihadapi."
Perubahan rawatan ketika bulan puasa bukan sahaja melibatkan peralihan waktu mengambil ubat, malahan mungkin melibatkan penukaran jenis ubat.
Doktor mungkin akan memberikan ubat yang tidak perlu diambil dengan kerap, bersesuaian dengan situasi ketika berpuasa.


Tidak kira dari segi pengambilan ubat, pemakanan dan senaman, tujuan utama adalah untuk pesakit terus mengawal situasi kesihatan mereka, di bulan Ramadan atau hari-hari biasa.
Sebarang perubahan negatif bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan dan ketahanan badan, malahan akan mendedahkan pesakit kepada risiko penyakit lain seperti selesema babi.
Ingat, virus H1N1 dan banyak kuman lain lebih mudah menjangkiti dan juga menyebabkan komplikasi di kalangan penghidap penyakit kronik yang mengabaikan kesihatan mereka.
Oleh itu, sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab terhadap rawatan serta tahap kesihatan diri.


Jadikanlah amalan berpuasa satu cara menguat dan memulihkan badan, tanpa mengabaikan sebarang bentuk rawatan dan perlindungan diri, terhadap sebarang ancaman jangkitan dan penyakit lain.

Usain Bolt Sepantas Kilat

USAIN jauh meninggal Gay (tengah) dan Powell
dalam saingan final 100m ketika mencatat rekod
baru dunia di Berlin, kelmarin.

'Saya tidak berlari untuk rekod dunia'

BERLIN: Jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt memusnahkan rekod dunia miliknya dalam acara 100 meter untuk memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Dunia dengan kepantasan menakjubkan - 9.58 saat dalam final acara berkenaan, kelmarin.

Lelaki Terpantas Dunia itu mencantas 0.11 saat daripada catatan 9.69s dilakukannya ketika memenangi emas Sukan Olimpik Beijing, setahun lalu untuk membawa acara pecut itu ke zon masa yang tidak pernah termimpi sebelum kehadirannya.


“Saya sudah kata apa sahaja boleh berlaku dan ia terhasil di sini,” kata Bolt. “Ia satu sasaran besar tetapi saya melakukan 9.58s. Saya amat gembira dengan diri saya. Saya kini merancang untuk mencipta keputusan lebih baik selepas ini.”

Pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay, juara dunia 2007, memberikan larian terbaiknya untuk meraih perak dengan catatan 9.71s, masa ketiga terpantas sepanjang zaman manakala pelari Jamaica, Asafa Powell meraih gangsa dengan 9.84s.

Rekod dunia 100m selalunya direndahkan melalui perpuluhan satu atau pun dua saat pada satu-satu masa, justeru catatan besar yang dilakukan Bolt, kelmarin menjadikan ia cukup luar biasa dan menakjubkan.

“Saya tidak berlari untuk rekod dunia,” kata Bolt, 22, kepada wartawan. “Sasarannya ialah untuk turun ke balapan dan memberikan yang terbaik kerana ia perlumbaan sengit. Saya mendapat permulaan bagus, saya sudah mendahului pada 20 meter dan tahu ia (perlumbaan) milik saya.

Bolt kini akan menerima AS$100,000 (RM350,000) daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk catatan rekod dunia tetapi ia hanya jumlah kecil jika dibandingkan dengan apa yang bakal diberikan penaja kepadanya sekarang ini.

Dia melintas garisan penamat dengan memandang jam catatan sebelum menumbuk dadanya dan meniup ciuman kepada penonton. Dia kemudian memeluk rakannya, Powell dan melengkapkan pusingan penghormatan sambil diberi tepukan gemuruh 70,000 penonton.

Sunday, August 16, 2009

Penyakit Golongan Pekerja

Seramai 135,000 rakyat Malaysia pada usia produktif hidap sakit sendi rheumatoid arthritis ARTHRITIS dan penyakit yang berkaitan dengan otot, adalah antara punca utama morbiditi atau masalah kesihatan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Malangnya, tidak ramai yang tahu secara mendalam mengenai penyakit ini sehinggalah ia dialami oleh diri sendiri atau ahli keluarga. Tidak kurang juga yang mungkin memandang ringan terhadap penyakit ini dan menganggapnya sekadar sakit sendi biasa biarpun hakikatnya ini boleh menjejaskan kualiti hidup individu itu serta kegiatan sehariannya.

Secara umumnya, arthritis berpunca disebabkan radang pada sendi dan perubahan struktur sendi yang kemudian menjejaskan kehidupan pesakit. Kebanyakan pesakit menghidapnya bagi tempoh yang lama atau ia mungkin terjadi sebagai penyakit kronik. Penyakit arthritis yang biasa adalah rheumatoid arthritis (RA), osteoarthritis dan ankylosing spondylitis (masalah struktur tulang belakang). Walaupun lazimnya ia dikenali arthritis atau radang sendi, setiap penyakit memiliki manifestasi sendiri dan dialami kumpulan usia berbeza. RA misalnya menyebabkan kesakitan, menyekat keupayaan fizikal dan menjejaskan kehidupan pesakit mahu pun ahli keluarganya.

Presiden Yayasan Arthritis Malaysia, Dr Amir Azlan Zain, berkata kebanyakan pesakit yang menghidap RA adalah dalam usia bekerja dan kesakitan itu mula ketara apabila pesakit mencecah usia persaraan. “RA tidak hanya menjejaskan sendi, tetapi turut dialami kira-kira satu peratus penduduk Malaysia. Malah ada kira-kira 135,000 penghidap RA di Malaysia. “Penghidap tidak hanya mengalami sakit sendi dan sukar bergerak, malah turut menjejaskan mutu kerja, sentiasa cuti sakit dan terpaksa bergantung pada orang lain,” katanya. Malah ia turut memerlukan kos rawatan tinggi terutama di kalangan pesakit yang menderita bagi jangka masa yang lama. Jumlah wang dibelanjakan bukan hanya untuk ubat-ubatan dan bil hospital tetapi meliputi rawatan pemulihan dan menggaji pengasuh.

Maklumat Statistik Ubat Malaysia 2005 mendapati, kos ubat untuk RA ialah RM50.7 juta manakala jumlah kos tidak langsung dianggarkan kira-kira RM202.8 juta atau empat kali ganda berbanding kos langsung. Justeru, pengesanan dan rawatan awal RA amat penting dan ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan imbasan ultrasound atau imbasan resonan magnetik (MRI). Namun, kos imbasan MRI menelan belanja yang tinggi. Satu pilihan untuk pesakit RA adalah melakukan imbasan ultrasound rangka otot. Kosnya murah berbanding MRI dan ia boleh mengesan sendi yang radang.

Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA.

Diagnosisnya lebih tepat terutama di peringkat awal penyakit, sekali gus membantu petugas perubatan memantau kesan rawatan ke atas pesakit. Pakar Rheumatologi, Universita Politecnica delle Marche, Itali, Prof Walter Grassi berkata, dalam dunia perubatan rheumatologi, teknologi imbasan sudah dikenal pasti membantu pesakit. Imbasan ultrasound rangka otot (MSUS) membantu diagnos dan merawat keadaan kesihatan dengan memberi imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh. “Melalui MSUS, perubahan struktur sendi pada peringkat awal dapat dikesan. Mesin imbasan ultrasound membantu mengesan sendi bermasalah serta tisu lembut di sekelilingnya. Kaedah ini disifatkan tidak mahal dan mengelak pendedahan radiasi,” katanya. Pengesanan dan rawatan awal RA penting untuk mencegah penyakit daripada menjadi kronik dan mengurangkan beban sosio ekonomi negara.

Imej imbasan jari jemari yang diserang RA.

“Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA pada peringkat awal. Kemajuan mesin pengimbas membantu pakar rheumatologi memberi maklumat lebih baik dan tepat. Ia juga memberikan rawatan yang sewajarnya untuk mengawal penyakit,” katanya. Grassi berkata, MSUS dapat membantu terutama bagi mengesan hakisan awal pada sendi, menilai keradangan pada tisu kenyal sinovia pada sendi, memantau kesan rawatan selain menilai keadaan radang antara otot tulang dan tulang. Sebenarnya, bagi dunia perubatan antarabangsa, mesin imbasan rangka otot ini sudah lama diperkenalkan dan terbukti membantu petugas perubatan melihat imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.

Cuma di Malaysia, MSUS agak asing kerana baru diperkenalkan. Ia bagaimanapun sudah ditempatkan di beberapa hospital utama di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak dan Sabah. Antaranya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Selayang dan Hospital Seremban. RA cenderung berlaku kepada wanita RA adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat dalam badan. RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang sendi kecil khusunya jari (tangan dan kaki) dan pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup.

Ada 23.7 juta penghidap RA di seluruh dunia manakala di Malaysia pula dianggarkan seramai 135,000 pesakit. RA antara dua hingga tiga kali lebih cenderung terjadi pada wanita berbanding lelaki. Umumnya, RA muncul antara usia 40 ke 60 tahun. Namun RA juga boleh menyerang kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 60 tahun. Tiada ubat untuk RA. Cuma, dengan rawatan yang teratur sendi boleh dilindungi daripada sendi mengalami kerosakan kekal.

Biasanya mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup lebih produktif antara pelan mengurus RA. RA yang progres sifatnya menyebabkan sel synovial (sel antara tulang dan sekitar sendi yang menghasilkan cecair melincirkan sendi) menjadi tidak normal. Ia masuk ke dalam rawan sendi dan menjejaskan otot, ligamen juga tendon di sekeliling sendi yang secara lazimnya bekerja menyokong dan menstabilkan sendi. Radang sendi yang kronik disebabkan RA boleh menyebabkan otot, ligamen dan tendon menjadi lemah menyebabkan ia tidak boleh berfungsi.

Setakat ini RA tidak boleh diubati. Rawatan RA tertumpu pada mengurangkan keradangan pada sendi bagi memperlahankan kerosakan sendi dan melegakan kesakitan. Selain ubat-ubatan, rawatan RA juga mungkin membabitkan pembedahan bagi kes kerosakan sendi yang serius.

INFO Simptom RA
1. Sakit sendi
2. Sendi bengkak
3. Sendi sakit apabila disentuh
4.Tangan bengkak dan merah
5. Ada benjol keras di lengan
6. Penat
7. Kekejangan pada sendi sekurang-kurangnya 30 minit pada waktu pagi dan mula surut apabila hari mula meninggi
8. Demam
9. Berat badan turun

" Perokok Pesakit Mental "

GAMBAR sinaran-X paru-paru
yang dijangkiti barah.

10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun kerana rokok
PEROKOK di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Dengan anggaran minimum sebatang rokok berharga 26 sen, perokok membelanjakan kira-kira RM8.6 juta sehari untuk membeli rokok! Suatu pembaziran yang boleh dielakkan. Justeru, tidak hairan apabila merokok disifatkan sebagai sejenis penyakit. Malah mengikut pengkelasan penyakit antarabangsa, merokok dikodkan sebagai F17.2 iaitu kategori penyakit mental dan perlakuan yang memungkinkan perokok ditakrifkan sebagai penagih.

Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC (Konvensyen Rangka kerja dan Kawalan Tembakau), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata tembakau adalah penyebab kematian dan kesengsaraan paling utama di dunia ketika ini. Lebih daripada lima juta orang meninggal dunia akibat penggunaan tembakau, jumlah yang lebih besar daripada gabungan pesakit malaria, HIV/Aids dan batuk kering.

ORANG ramai tidak menghiraukan
larangan merokok di zon yang ditetapkan.
Anehnya, tembakau yang dihasilkan sebagai barang pengguna masih dijual secara terbuka walaupun fakta sains menjelaskan separuh daripada perokok akan meninggal dunia akibat penyakit berkaitan tembakau. Di Malaysia, orang Melayu adalah perokok paling ramai iaitu 1.66 juta atau 60.9 peratus daripada keseluruhan 2.73 juta perokok. Majoriti perokok adalah orang dewasa dan hanya 103,630 perokok remaja. “Setiap tahun syarikat pengeluar rokok membelanjakan jutaan ringgit untuk memikat perokok baru, selain mengekalkan ketagihan di kalangan perokok sedia ada. Dengan kempen dan pelbagai promosi, industri tembakau sebenarnya cuba mengalihkan perhatian perokok daripada fakta sebenar menghisap rokok iaitu komplikasi penyakit,” katanya. Pada 1998, enam juta dokumen ‘rahsia’ daripada tujuh pengeluar rokok terkemuka di Amerika Syarikat seperti Philip Morris Incorporated, RJ Reynolds Tobbaco Company, Brown & Williamson Tobacco Corporation dan British American Tobacco Industries didedahkan berikutan membabitkan kes perundangan.

Dokumen setebal 35 juta halaman itu mendedahkan pelbagai taktik kotor pengeluar tembakau untuk terus menyebabkan ketagihan. Misalnya, memorandum jualan daripada pengeluar rokok, Lorillard Tobacco Company menyebut: “Asas perniagaan kita adalah pelajar sekolah menengah atas.” Saintis Kanan British American Tobacco membuat dua kenyataan yang menggerunkan iaitu ‘perokok adalah penagih nikotin’ dan ‘perokok wanita lebih bermotivasi untuk merokok dan sukar berhenti. Perokok wanita lebih neurotik (tidak stabil dari segi mental) berbanding lelaki dan lebih suka merokok apabila tertekan.’ Walaupun pendedahan ini mendapat liputan meluas media, ia belum berupaya sepenuhnya untuk membantu perokok membuang ketagihan. Tidak dinafikan kemungkinan tahap nikotin dalam rokok pada masa ini kemungkinan lebih tinggi berbanding rokok sekitar 90-an atau 80-an. Industri pengeluaran rokok kini menyasarkan lelaki dan perempuan kumpulan kelas pertengahan dan golongan kurang berpendidikan sebagai sasaran pasaran baru.

Di Amerika, sasarannya ialah golongan kulit hitam, Hispanik dan masyarakat daripada Kepulauan Pasifik. Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5 peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9 peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya berhenti merokok. Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru dan keguguran janin. Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60 peratus di belakang kotak. Dr Zarihah berkata, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene) perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran ‘cap kaki’ (gangrene).

Jika semua fakta itu tidak menyentuh perasaan perokok, ada satu lagi alasan yang sangat kuat untuk perokok berhenti merokok. Kajian terbaru mendapati, walaupun merokok di luar rumah atau di dalam bilik khas, partikel dan gas dari asap rokok berupaya melekat di rambut dan pakaian perokok. Kemudian, apabila perokok pulang ke rumah menyentuh anak-anak dan isteri, mereka juga berisiko berdepan dengan pelbagai komplikasi kesihatan akibat merokok.

Antaranya, masalah jantung. ‘Third hand smoker’ atau perokok ketiga adalah terma terbaru yang digunakan bagi menjelaskan golongan yang berisiko pada kewujudan toksin tidak dapat dilihat yang datang dari gas dan partikel sebatang rokok. Malah, gas dan partikel rokok bukan saja melekat pada rambut dan pakaian perokok tetapi juga permaidani dan sofa. Kewujudan terma perokok ketiga ini juga hasil rumusan kajian terhadap risiko rokok pada bayi dan kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat pada Januari 2009. Pakar Runding Kardiologi, Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara, Dr Aizai Azan Rahim, berkata merokok adalah punca kira-kira 30 peratus daripada masalah jantung koronari dan ia adalah faktor risiko utama bagi strok iskemia dan penyakit berkaitan arteri.

“Perokok ketiga tercemar dengan saki baki asap rokok yang mencemari persekitaran. Biasanya asap rokok kekal di situ selepas rokok habis dihisap. Partikel kimia menyebabkan tembakau terbakar termasuk tar dan nikotin terlekat pada pakaian, rambut, bekas rokok pada kadar yang lebih lama walaupun asap sudah hilang dari udara. Partikel ini membentuk lebih 200 gas beracun yang kebanyakannya menyebabkan barah seperti arsenik dan amonia. “Jadi perokok ketiga juga berdepan dengan risiko serangan acute coronary syndrome (ACS) (masalah jantung membabitkan kekurangan aliran darah ke jantung) atau barah.

Tiada tahap selamat pada pendedahan terhadap asap rokok,” katanya. Dr Aizai berkata, langkah berhenti merokok adalah asas pencegahan masalah jantung yang utama. Ini kerana berhenti merokok boleh mengurangkan risiko masalah jantung dengan ketara dalam tempoh dua tahun pertama. Bagi perokok wanita, mereka lebih cenderung menderita barah pangkal rahim jika terus merokok. Berhenti merokok, katanya membantu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit jantung koronari berbanding terapi pencegahan lain seperti mengurangkan pengambilan kolesterol.

Justeru, langkah berhenti rokok adalah asas dalam pencegahan penyakit kardiovaskular. Malah, tabiat merokok juga mengurangkan manfaat ubat yang mencegah faktor risiko kardiovasular. Pada abad ke-20, 100 juta penduduk dunia meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan tabiat merokok. Pada 2030, dianggarkan lapan juta kematian disebabkan faktor yang sama setiap tahun dengan 80 peratus berlaku di negara membangun. “Di Malaysia, 10,000 orang berhenti merokok setiap tahun. Malangnya mereka berhenti kerana meninggal dunia,” katanya. Terlalu banyak penyakit yang dikaitkan dengan merokok. Malah setiap tahun jumlah kemasukan ke wad disebabkan komplikasi merokok meningkat. Pada 2006, 31,186 kemasukan dicatatkan di 773 unit rawatan rapi di Malaysia. Daripada jumlah itu, 12,534 kemasukan dikaitkan dengan ACS. Malah ACS membabitkan 47 kes dalam setiap 100,000 populasi, manakala insiden masalah koronari yang lain dicatatkan 141 per 100,000 populasi.

Dr Aizai berkata, satu daripada cabaran utama perokok untuk membuang tabiat itu ialah ketagihan dan kebergantungan pada nikotin. Malah, mungkin kandungan nikotin dalam rokok yang ada di pasaran hari ini lebih tinggi berbanding nikotin dalam rokok yang dipasarkan sekitar 70-an atau 80-an. Namun, tiada kajian mengenainya dibuat. “Ada terapi berhenti merokok menjimatkan kos yang boleh dipilih perokok jika mereka ingin berbuat demikian. Terapi penggantian nikotin boleh didapati dalam pelbagai bentuk, gula-gula getah, lozenges, tampalan, semburan hidung dan penyedut. “Malah, ada juga pilihan ubat oral bukan nikotin yang dihasilkan secara khusus untuk membantu pengguna berhenti merokok,” katanya.

Masuk Angin Keluar Asap...!



Kien Keat-Boon Heong, Fairuzizuan-Zakry gagal penuhi impian 1Malaysia

DETIK membawa pulang gelaran dunia belum menjelma buat negara apabila kedua-dua beregu harapan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif, tersungkur di Hyderabad, semalam. Corak permainan kemas dan bersemangat pada awalnya gagal dikekalkan sehingga ke penghujung untuk kedua-dua gandingan negara itu tersingkir daripada Kejohanan Badminton Dunia selepas pertentangan sengit tiga set.
Lantas, Stadium Gowchi Bowli jadi saksi terbaru kekecewaan skuad negara yang masih tercari-cari gelaran sulung sejak edisi sulung kejohanan itu, 32 tahun lalu. Fairuzizuan-Zakry yang paling awal menjelmakan harapan apabila berjaya menangani tentangan beregu China, Fu Haifeng-Cai Yun untuk menang set pertama, 21-18. Tetapi di sebalik kesungguhan yang terus bernyala, lawan daripada negara Tembok Besar China itu enggan mengalah pada set kedua untuk mata demi mata disaingi sehingga kedudukan 22-22.


Di akhirnya, Fairuzizuan-Zakry kecundang 22-24 pada set kedua dan tumpuan yang terjejas akibat kekecewaan itu dimanfaatkan Haifeng-Cai Yun dengan sebaik mungkin untuk menang 21-15 pada set ketiga dan menamatkan pertentangan selama 57 minit itu. Di gelanggang berbeza ketika itu, Kien Keat-Boon Heong, turut membayangkan bakal ada wakil negara ke perlawanan akhir selepas menang 21-16 pada set pertama ke atas beregu Korea Selatan, Lee Young Dae-Jung Jae Sung. Tetapi beberapa siri kesilapan menyaksikan gandingan Korea Selatan itu bangkit untuk menang 21-14 pada set kedua dan memaksa debaran berterusan di set penentuan. Berbeza dengan Fairuzizuan-Zakry, Kien Keat-Boon Heong berjaya memberi tentangan sengit dan dua kali bangkit selepas ketinggalan untuk memaksa penentuan dius selepas terikat 20-20.

Tetapi sayangnya, Young Dae dan Jae Sung jelas punya ketahanan mental lebih ampuh untuk bijak menangani tekanan pada situasi genting itu dan berjaya meraih dua mata diperlukan buat menjamin langkah ke aksi kemuncak, hari ini.

Saturday, August 15, 2009

Latihan Penghidratan Penting Buat Atlet

UNTUK memastikan kesihatan yang sempurna serta prestasi fizikal yang baik, tubuh badan perlu dihidrat secukupnya. Jika tubuh badan kekurangan cecair, keletihan dan kelesuan akan berlaku.
Sehubungan itu, strategi penghidratan yang betul penting terutama kepada para atlet bagi membantu mereka mencapai prestasi cemerlang dalam apa jua aktiviti sukan.
Ketua Kluster Gaya Hidup Sihat, Institut Perubatan dan Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Rabindarjeet Singh berkata, ramai atlet tidak faham bahawa pengambilan cecair yang tidak mencukupi semasa bersenam atau bersukan akan menyebabkan penyahhidratan sukarela di mana atlet mungkin telah menghampiri peringkat keletihan walaupun tidak berasa haus.

Menghilangkan cecair badan

"Memandangkan sukan-sukan utama di Asia biasanya diadakan dalam suasana panas dan lembap dengan suhu kira-kira 29-31 darjah Celsius dan paras kelembapan di sekitar 70-90 peratus, bersukan dalam persekitaran ini boleh menghilangkan cecair badan sebanyak satu liter sejam.

"Ini boleh membawa kesan buruk kepada keadaan selular badan di mana penyahhidratan dan hipertermia boleh menjejaskan prestasi mental dan fizikal," katanya pada Seminar Penghidratan Sukan dan Pemakanan 100PLUS di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah beliau, para atlet terutama sekali di kawasan tropika, perlu mengganti cecair yang hilang akibat berpeluh, bukannya menunggu sehingga kehausan.

"Cecair penghidratan semula mesti mengandungi cukup natrium bagi mengekalkan rangsangan kehausan serta menggalakkan pengekalan cecair yang diambil," jelasnya.
Tambah Dr. Rabindarjeet, penghidratan semula perlu selepas mana-mana aktiviti sukan yang mengeluarkan peluh. Ini bermakna, menggantikan peluh yang telah hilang dan menambah sedikit lagi cecair bagi peluh yang akan hilang seterusnya.

Sekiranya tempoh pemulihan agak panjang (24 jam atau lebih), penghidratan semula tidak diperlukan dengan segera walaupun ramai yang minum apabila berasa haus.
Sekiranya satu lagi sesi latihan diadakan dalam masa beberapa jam, penghidratan semula akan membantu prestasi. Cecair penghidratan semula perlu mengandungi karbohidrat bagi membantu menambah glikogen dan garam yang hilang akibat berpeluh.

''Kegagalan mengganti cecair yang hilang akan menjejaskan fungsi fisiologi tertentu seperti keupayaan untuk bersenam, kesukaran daya tumpuan, kekurangan kewaspadaan, peningkatan simptom sakit kepala dan beberapa tindak balas yang lain.

''Oleh itu, adalah penting agar setiap individu mempunyai cukup cecair dalam badan sebelum memulakan satu-satu rutin bagi mengelak penyahhidratan di samping memudahkan senaman dan latihan,'' ujarnya.
Sementara itu, Ahli Sains Pertahanan, Pertubuhan Sains Pertahanan Makmal Kebangsaan (DSO), Singapura, Dr. Jason Lee Kai Wai memberitahu, ramai yang tidak sedar akan kesan penyahhidratan.

"Penyahhidratan yang sedikit pun boleh menjejaskan fungsi badan dan keupayaan prestasi kita. Itu sebabnya pengambilan minuman sukan seperti 100PLUS perlu digalakkan semasa latihan berkali-kali bagi membantu penyesuaian latihan danmeningkatkan prestasi latihan berbanding air,'' ujarnya.

Trio Berbasikal Negara Catat Sejarah


AZIZULHASNI Awang, mencatat sejarah buat negara apabila menerajui dua lagi pelumba negara - Mohd Rizal Tisin dan Mohd Edrus Md Yunus - menggondol emas dalam acara pecut berpasukan dalam Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) ke-29 di Samarinda, semalam. Ini adalah kejayaan pertama negara dalam acara itu selepas hanya menduduki tempat kedua di belakang China pada edisi sebelum ini di Jepun tahun lalu. Kali ini, Iran selaku pilihan di tempat kedua dan China, ketiga. Namun, Azizulhasni yang sebelum ini menjadi pelumba ranking pertama dunia dalam acara keirin, gagal memburu kemenangan hatrik dalam acara itu di ACC apabila sekadar menduduki tempat keempat.


“Saya agak kecewa gagal mempertahankan emas dalam acara ini dan akan cuba memburu emas dalam acara pecut 200 meter individu,” katanya yang menang emas dalam keirin dan 200m di Jepun tahun lalu. Namun, kekecewaan itu diubati Mohd Hafiz Sufian yang meraih pingat perak acara keirin di belakang pelumba Jepun, Kozunari Watanabe dan ketiga pelumba Iran, Mahmoud Farash. Terdahulu, pelumba wanita negara, Fatehah Mustafa, melakar pencapaian istimewa apabila meraih pingat pertama untuk Malaysia apabila menduduki tempat ketiga acara 500m ujian masa.



Biarpun gagal mengulangi pencapaian pingat perak dalam acara sama pada penampilan sulung di Kejohanan ACC ke-28 di Nara, Osaka, Jepun tahun lalu, namun prestasi Fatehah dilihat tetap mantap kerana dia sebenarnya berkayuh dalam keadaan demam. “Selepas Mini Olimpik, saya demam sehingga kini,” katanya di Velodrom Tenggarong, Kalimantan selepas mencatat masa 37.665 saat dalam perlumbaan dimenangi pelumba China, Gong Jinjie dengan masa 36.207s diekori pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze, 36.659s.

Dua Bergu Mara , Chong Wei Kecundang

ZAKRY (kanan) dan Fairuzizuan tewaskan pasangan
Korea, Woo Cho-Seong Yoo 17-21, 21-12 21-14, malam tadi.

  • Kuncoro musnah laluan Chong Wei ke separuh akhir

CERITA duka ciptaan Sony Dwi Kuncoro terus menghantui tonggak utama negara, Lee Chong Wei, yang sekali lagi dikecewakan pemain Indonesia itu pada Kejohanan Badminton Dunia, kali ini di Hyderabad, semalam. Kehampaan itu hadir angkara kekalahan 16-21, 21-14, 12-21 pada suku akhir di Stadium Gowchi Bowli, mengulangi kekecewaan tumbang di pusingan ketiga ketika saingan berprestij itu dilangsungkan di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Malah penyingkiran Chong Wei memalapkan apa yang seharusnya jadi hari gemilang skuad negara selepas dua beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif melangkah ke separuh akhir. Kien Keat-Boon Heong berdepan tentangan sengit pasangan Amerika Syarikat yang juga juara dunia 2005, Howard Bach-Tony Gunawan tetapi berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan 22-20, 13-21, 21-17. Fairuzizuan-Zakry pula kecundang 17-21 pada set pertama sebelum mempamer aksi lebih tenang untuk menang 21-12, 21-14 menundukkan lawan dari Korea Selatan, Gun Woo-cho-Yeon Seong-yoo.

“Memang dalam kejohanan besar seperti ini, akan ada beregu bukan pilihan yang bahaya dan itu dibuktikan Tony dan Bach. Pada set pertama, Boon Heong agak tertekan tetapi dia berjaya memperbaikinya. “Fairuzizuan pula gagal mengawal perasaannya pada set pertama selepas beberapa kali pukulan smashnya tersangkut di jaring. Saya bagaimanapun bangga kerana mereka mempunyai ketahanan mental untuk mengatasinya. “Kini, tumpuan utama ialah menyiapkan kedua-dua beregu itu untuk separuh akhir kerana masih ada dua halangan sebelum mampu mencapai sasaran,” kata ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky.
Cuma Chong Wei, selepas permulaan baik di set pertama, ibarat terpegun menerusi kemampuan Sony meraih lapan mata berturut-turut untuk mendahului 18-13 dan akhirnya menang 21-16.
Kebangkitan diusahakannya pada set kedua berjaya menerusi kemenangan 21-14 tetapi pergerakan kurang selesa selain siri pukulan kurang meyakinkan jadi penyumbang kekalahan 12-21 di set penentuan, sekali gus menghancurkan harapannya untuk muncul pemain sulung negara bergelar juara dunia.

Thursday, August 13, 2009

Kenali Postur Badan Anda

BENTUK badan atau postur memang berkait rapat dengan masalah sistem otot dan tulang atau sistem musculoskeletal Anda mungkin pernah mengalami sakit leher apabila bangun dari tidur, sakit bahagian belakang selepas anda duduk lama di depan komputer atau selepas melakukan kerja-kerja harian seperti menyapu, memasak atau memandu kereta.
Anda mungkin mengalami sakit bahu selepas melakukan aktiviti sukan seperti bermain golf. Anda juga boleh mengalami sakit di semua sendi anggota badan sebaik sahaja menamatkan hari bekerja seperti sakit sendi siku, sakit bahagian ibu jari seperti sindrom De Quarvain, sakit sendi lutut, sakit kaki dan sakit bahagian badan yang lain.

Sakit sistem musculoskeletal ini biasanya disebabkan oleh postur badan yang tidak normal yang berpunca daripada:

1. Kecederaan atau penyakit seperti kelumpuhan, patah tulang, penyakit sistem otot seperti Myasthenia Gravis, penyakit sistem saraf seperti poliomyelitis dan sebagainya.

2. Tabiat dan gaya badan (ergonomik) yang tidak baik semasa melakukan fungsi harian seperti duduk, berdiri dan mengangkat yang tidak betul dan dilakukan secara berterusan.

3. Bentuk fizikal dan berat badan yang tidak normal seperti berat badan berlebihan atau gemuk.

4. Fesyen dan pemakaian kasut yang tidak baik seperti memakai kasut bertumit tinggi, pakaian yang ketat dan tidak selesa yang boleh menyebabkan anda terpaksa mengubah bentuk dan gaya badan bagi menyesuaikan diri dengan fesyen yang dipakai.

5. Lahir dengan kecacatan dan sebagainya.

Cara elak sakit belakang
Bagi mengelakkan anda mengalami sakit, anda perlu tahu untuk menilai postur badan yang normal dalam keadaan berdiri, duduk atau semasa melakukan kerja-kerja seharian. Sebagai asasnya postur badan akan menjadi normal jika sekiranya anda mampu membayangkan dan meletakkan anggota-anggota badan berada di tempatnya dengan kesan daya luaran yang minimum seperti daya graviti atau daya tindakbalas bumi.

Anda boleh melakukannya di hadapan cermin dan memastikan daya graviti berada di garisan tengah badan dan daya tindakbalas bumi berada di keseluruhan tapak kaki semasa melakukan aktiviti harian.

Garisan tulang belakang mestilah berada selari atau rapat kepada garisan tengah badan.

Garisan tengah sendi hendaklah selari dengan bumi atau sedikit condong ke hadapan bagi membolehkan berat badan disebarkan sama rata keseluruhan permukaan sendi.

Garisan tengah kaki mestilah selari atau rapat dengan garisan tengah badan bagi membolehkan berat badan disebarkan secara sama rata keseluruhan bahagian anggota kaki iaitu sendi pinggul, tulang paha, sendi lutut, tulang kaki, sendi pergelangan kaki dan tapak kaki.

Lagi jauh garisan-garisan ini dari garisan tengah badan, akan lebih lagilah kesan daya-daya luaran akan bertindak ke atas sistem musculoskeletal ini dan akan menghasilkan sakit-sakit yang mungkin tidak akan dapat dilegakan dengan pengambilan ubat-ubat penahan sakit.

Kesan daya ini akan memberikan lagi kesan sakit apabila anda melakukan aktiviti harian anda dengan postur badan anda yang tidak betul.

Jadi langkah-langkah berikut boleh diambil untuk mengelakkan sakit di bahagian badan anda iaitu:

*Pastikan anda membayangkan diri anda tinggi semasa berdiri, duduk atau semasa aktiviti harian.

*Pastikan telinga, leher, bahu, pinggang, lutut dan pergelangan kaki berada di garisan tengah badan dengan mempraktikkannya di hadapan cermin. Gambarkan postur normal ini di kotak fikiran anda dan mempraktikkannya sebilangan masa dalam apa jua keadaan.

*Pastikan lengkungan normal pada tulang belakang atas dan tulang belakang bawah anda tidak terlalu bongkok, tonggek atau leper.

*Sentiasa melakukan senaman postur badan di bawah pengawasan ahli fisioterapi anda bagi mengekalkan sistem otot anda mengawal dan mengekalkan postur badan berada dalam keadaan yang normal.

*Lakukan aktiviti harian dengan gaya badan yang betul.

*Sentiasalah bangga dengan diri anda sendiri kerana kognitif dan keyakinan anda juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan postur badan yang normal.

Justeru itu, anda sendiri boleh mengelakkan diri daripada mendapat kesakitan diseluruh badan jika sekiranya anda mengenali postur badan yang normal.

MERAWAT ANAK DEMAM

APABILA anak demam, ibu bapa disaran segera membawa anak berjumpa doktor terutama jika mereka tidak mempunyai pengetahuan untuk merawatnya.
Demam adalah keadaan di mana suhu berada di atas tahap normal iaitu 38 darjah Celsius. Namun demam yang sesungguhnya ialah apabila suhu melebihi 38.5 darjah Celsius.
Tip penting semasa merawat anak demam:

1. Mencari penyebab demam dan perhatikan perilaku anak. Jika perilaku anak hampir sama seperti biasa, maka anda tidak perlu risau kerana demam biasa adalah tidak berbahaya.

2. Cegah dehidrasi kekeringan cecair dalam badan. Bayi dan kanak-kanak berisiko mengalami dehidrasi. Berikan anak lebih banyak cecair seperti air, kuah sup, jus buah segar yang dicampur air dan sebagainya.

3. Jika anak muntah atau cirit-birit, berikan minuman garam oral bagi menggantikan cecair yang telah keluar daripada badan.

4. Pastikan bilik anak tidak panas. Pasang kipas atau pendingin hawa dan pakaikan anak baju nipis.

5. Beri anak makan apa yang diingininya. Jangan dipaksa. Elakkan makanan berlemak kerana makanan ini sukar dihadamkan oleh tubuh.

6. Walaupun sebaiknya anak tidak ke sekolah kerana bimbang berjangkit dengan kanak-kanak lain, namun ini bukan bermakna anak harus berada di tempat tidur seharian.

7. Ibu bapa harus berjumpa doktor apabila bayi mereka yang berusia tiga bulan mempunyai suhu melebihi 38 darjah Celsius, tiga hingga enam bulan dengan suhu lebih 38.3 darjah Celsius, lebih enam bulan dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.

8. Berbincang dengan doktor jika terdapat tanda-tanda tidak mahu minum atau terdapat tanda dehidrasi, gelisah, muntah atau cirit-birit.

9. Anak nampak tidak selesa, gelisah atau asyik menangis.

10. Asyik tidur dan sukar dikejutkan.

11.Sering kejang, kaku atau sakit kepala yang teruk.

H1N1 TIDAK HALANG MALAYSIA ANJUR PARA ASEAN



Zainal Abu Zarin (barisan belakang dua dari kanan) bersama ketua-ketua kontinjen negara-negara ASEAN menunjukkan lencana bebas tembakau selepas sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Utusan/Abdul Nazir Mohamed





KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur sekali lagi akan menjadi tumpuan apabila kira-kira 1,200 atlet paralimpik hadir untuk beradu kehebatan dan kemampuan masing-masing pada Sukan Para ASEAN kelima (KL'09) yang bermula, esok.

Temasya sukan dwitahunan itu adalah temasya sukan terbesar bagi atlet paralimpik di rantau ini dan ia melibatkan penyertaan atlet dari 10 buah negara anggota ASEAN dan Timor Leste.

Walaupun kini dunia dilanda penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), namun 11 negara itu mengetepikan kebimbangan itu untuk menjayakan temasya sukan berkenaan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN (KLAPGOC) berkata, saringan kesihatan atlet-atlet di negara masing-masing termasuk di Malaysia merupakan langkah awal bagi mengelakkan wabak itu daripada tersebar semasa kejohanan tersebut.

"Semua atlet dan pegawai kontinjen akan menjalani saringan kesihatan yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Katanya, semua langkah awal yang diambil adalah bagi memastikan KL'09 bebas daripada penularan H1N1, dengan antaranya meminta setiap anggota kontinjen luar mengemukakan sijil kesihatan bebas daripada wabak tersebut dari negara masing-masing.

"Kalau boleh, MPM mahu saringan kesihatan terhadap kontinjen luar dilakukan berasingan serta lebih teliti dan bukan bersama dengan orang awam yang lain.

Ini bagi memastikan anggota kontinjen luar yang tiba benar-benar bebas daripada wabak tersebut," katanya.

Zainal berkata, wabak tersebut merupakan ancaman di seluruh dunia termasuk rantau Asia Tenggara dan tidak tertumpu di sesebuah negara sahaja.

Ini adalah kali kedua Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Para ASEAN.

Kali pertama Malaysia menganjurkannya ialah pada 2001.

Pada edisi pertama itu, hanya dua acara sukan dipertandingkan iaitu olahraga dan renang, di mana Malaysia muncul juara keseluruhan.

Dengan tema 'ASEAN Bergerak Bersama' (ASEAN Moving Together), temasya dwi-tahunan itu yang akan berlangsung hingga 19 Ogos ini bertujuan menggalakkan persahabatan dan pembangunan sukan serta mengintegrasikan golongan itu ke dalam masyarakat ASEAN.

Pada edisi kelima temasya sukan itu kali ini, sebanyak 730 pingat emas ditawarkan melalui 11 acara iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, powerlifting, catur, boling, pelayaran, tenis kerusi roda, bola keranjang kerusi roda dan bola tampar duduk.

Beberapa gelanggang sekitar Lembah Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan telah dipilih bagi menjayakan temasya kali ini.

PELUMBA REMAJA KITA MENANG GANGSA

KUALA LUMPUR - Pelumba basikal negara sekali lagi mencatat sejarah apabila atlet pelapis kebangsaan, Muhammad Adiq Husaini Muhd. Othman, memenangi pingat gangsa bagi acara scratch 10 kilometer (30 pusingan) pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Remaja Dunia UCI, kelmarin.


Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) menghantar hanya dua pelumba ke kejohanan itu yang diadakan di Moscow, Rusia bermula 4 Ogos hingga 14 Ogos ini. Seorang lagi pelumba ialah Muhammad Zulhilmie Afif.

Muhammad Adiq Husaini (kanan)
bersama Sonda Darlo (tengah) dan
Greve Matias padapenyampaian
pingat di Moscow, kelmarin.

Muhammad Adiq mencatat sejarah menjadi pelumba pertama negara memenangi pingat pada kejohanan dunia berkenaan dalam perlumbaan melibatkan seramai 31 orang peserta yang mana acara ini hanya melibatkan seorang pelumba dari setiap negara.

Antara pelumba yang bertanding ialah dari Australia, Belgium, Rusia, Belanda, Itali, Jepun, Perancis, Amerika Syarikat dan Jerman. Pingat emas acara itu dimenangi oleh pelumba dari Itali, Sonda Darlo dan pingat perak oleh pelumba Denmark, Greve Matias.
Kejayaan Muhammad Adiq lebih manis kerana dia agak kurang sihat selepas mengalami muntah-muntah, senak perut, pening kepala dan sakit tekak tetapi mengetepikan segala halangan itu ketika perlumbaan.

Di sebalik halangan itu, pelumba muda negara itu tetap mempamerkan prestasi mengkagumkan. "Kemenangan ini saya tujukan kepada bapa saya, Muhd. Othman Awang yang akan menyambut hari lahirnya pada 30 Ogos ini. Ini semua berkat dorongan dan sokongan semua pihak terutama ibu bapa saya, pegawai dan jurulatih khususnya di Majlis Sukan Negara, persatuan kebangsaan dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Saya menganggap kemenangan ini sebagai titik permulaan untuk saya memburu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, sekali gus mengharumkan nama negara," kata Muhammad Adiq yang berasal dari Kemaman, Terengganu dan berusia 18 tahun itu.
Pelumba itu dijadualkan pulang ke tanah air, esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3 pagi.

Bagaimanapun Muhammad Adiq akan kembali menaiki pesawat pada hari yang sama pada jam 9 pagi untuk menyertai skuad negara yang akan bertarung pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Indonesia.

LEE CHONG WEI KE SUKU AKHIR

FAIRUZIZUAN (kanan) dan Zakry 'berebut' untuk membalas
pukulan lawan dari Indonesia pada saingan malam tadi.
  • Fairuz-Zakry, Kien Keat-Boon Heong mara
  • Pei Tty-Eei Hui cicir

IGAUAN di Singapura terhapus, semalam apabila pemain utama negara, Lee Chong Wei, membenam tentangan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh, buat menempah kemaraan ke saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Hyderabad. Gandingan Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mara ke kelompok lapan terakhir ketika harapan yang disandarkan kepada beregu wanita utama, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Wong Choong Hann, terkubur.

Chong Wei menjangkakan tentangan sengit lawan yang menyingkirkannya di pusingan awal Terbuka Singapura, Mei lalu, dan ia terhasil di set kedua selepas dia mudah mendominasi set pertama, 21-13. Tien Minh berjaya menyaingi pada setiap mata sehingga 14-14 sebelum Chong Wei bangkit membuka kelebihan selesa 20-15. Dua mata lagi dikutip pemain Vietnam itu sebelum Chong Wei menang 21-17 dalam keseluruhan 33 minit aksi. Ia sekali gus menghampirkan Chong Wei kepada 'pertembungan idaman' dengan juara Olimpik, Lin Dan, yang turut mara ke suku akhir selepas mudah menundukkan pemain Belanda, Dicky Palyama 21-11, 21-11.

Lawan Lin Dan pada kelompok lapan terakhir, hari ini ialah pemain Denmark, Peter Gade yang mudah menyingkirkan pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 21-11, 21-12. Fairuzizuan-Zakry pula berjaya mengawal ketenangan aksi pada situasi genting untuk menyingkirkan gandingan Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Rian Sukmawan 21-14, 21-17 untuk membuat kemunculan sulung di suku akhir kejohanan itu. Kien Keat-Boon Heong pula berjaya menangani tentangan beregu Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato untuk mengulangi pencapaian ke suku akhir hasil kemenangan 21-14, 21-17.
Sementara itu, 'penangan Jepun' menamatkan cabaran pemain-pemain wanita negara apabila Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna menghancurkan harapan Pei Tty-Eei Hui apabila menang 21-19, 19-21, 21-12. Seorang lagi pemain Jepun, Ai Goto, sebelumnya menyingkirkan Wong Mew Choo, kelmarin. Gandingan beregu campuran, Koo Kien Keat-Ng Hui Lin pula nyata tidak mampu menandingi kehebatan juara bertahan dari Indonesia, Nova Widianto-Liliyana Natsir apabila akur kecundang 15-21, 19-21.

BEKAS JUARA BERPELUH


KAPTEN Jerman, Michael Ballack (tengah), Schweinsteiger (kiri)
mengucap tahniah kepada Klose selepas menjaeingkan gol kedua.


LONDON: Bekas juara, Jerman dan Perancis masing-masing memungut mata penuh selepas bergelut dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia, awal pagi semalam. Jerman menewaskan Azerbaijan 2-0 untuk mendahului empat mata dalam saingan Kumpulan 4 manakala Perancis berhempas pulas menundukkan Faeroe Islands 1-0 di gelanggang lawan. Jaringan daripada Bastian Schweinsteiger dan Miroslav Klose di Baku memberi Jerman tiga mata dan kini sudah mengutip 19 mata daripada tujuh perlawanan dengan Russia di tempat kedua berbekal 15 daripada enam perlawanan.

Russia harus merapatkan jurang pendahuluan itu kepada satu andai dapat menewaskan Liechtenstein di tempat sendiri pada 5 September ini. "Misi kami adalah untuk menang dan kami berjaya melakukannya," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew. "Tetapi Jerman tidak beraksi pada satu tahap tertinggi." Andre-Pierre Gignac menyumbat gol tunggal untuk Perancis pada minit ke-42 menewaskan lawan kerdil, Faeroe Islands dalam Kumpulan 7 di Torshavn. Walaupun mengutip mata penuh, anak didik Raymond Domenech itu masih lima mata di belakang Serbia yang bermain kurang satu perlawanan.

"Ia sentiasa masalah sama anda harus menjaringkan gol. Kami mencipta banyak peluang tetapi seperti apa saya katakan sebelum ini tiga mata adalah penting," kata Domenech. Dalam perlawanan lain, dua gol daripada Ivica Olic membantu Croatia mengatasi Belarus 3-1 untuk mengukuhkan kedudukan tempat kedua di belakang England dalam Kumpulan 6.