Thursday, August 13, 2009

PELUMBA REMAJA KITA MENANG GANGSA

KUALA LUMPUR - Pelumba basikal negara sekali lagi mencatat sejarah apabila atlet pelapis kebangsaan, Muhammad Adiq Husaini Muhd. Othman, memenangi pingat gangsa bagi acara scratch 10 kilometer (30 pusingan) pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Remaja Dunia UCI, kelmarin.


Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) menghantar hanya dua pelumba ke kejohanan itu yang diadakan di Moscow, Rusia bermula 4 Ogos hingga 14 Ogos ini. Seorang lagi pelumba ialah Muhammad Zulhilmie Afif.

Muhammad Adiq Husaini (kanan)
bersama Sonda Darlo (tengah) dan
Greve Matias padapenyampaian
pingat di Moscow, kelmarin.

Muhammad Adiq mencatat sejarah menjadi pelumba pertama negara memenangi pingat pada kejohanan dunia berkenaan dalam perlumbaan melibatkan seramai 31 orang peserta yang mana acara ini hanya melibatkan seorang pelumba dari setiap negara.

Antara pelumba yang bertanding ialah dari Australia, Belgium, Rusia, Belanda, Itali, Jepun, Perancis, Amerika Syarikat dan Jerman. Pingat emas acara itu dimenangi oleh pelumba dari Itali, Sonda Darlo dan pingat perak oleh pelumba Denmark, Greve Matias.
Kejayaan Muhammad Adiq lebih manis kerana dia agak kurang sihat selepas mengalami muntah-muntah, senak perut, pening kepala dan sakit tekak tetapi mengetepikan segala halangan itu ketika perlumbaan.

Di sebalik halangan itu, pelumba muda negara itu tetap mempamerkan prestasi mengkagumkan. "Kemenangan ini saya tujukan kepada bapa saya, Muhd. Othman Awang yang akan menyambut hari lahirnya pada 30 Ogos ini. Ini semua berkat dorongan dan sokongan semua pihak terutama ibu bapa saya, pegawai dan jurulatih khususnya di Majlis Sukan Negara, persatuan kebangsaan dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Saya menganggap kemenangan ini sebagai titik permulaan untuk saya memburu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, sekali gus mengharumkan nama negara," kata Muhammad Adiq yang berasal dari Kemaman, Terengganu dan berusia 18 tahun itu.
Pelumba itu dijadualkan pulang ke tanah air, esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3 pagi.

Bagaimanapun Muhammad Adiq akan kembali menaiki pesawat pada hari yang sama pada jam 9 pagi untuk menyertai skuad negara yang akan bertarung pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Indonesia.

No comments:

Post a Comment