Ramadan tahun ini hadir di ketika negara dibelenggu satu ancaman virus baru yang telah meragut berpuluh nyawa warganegara Malaysia, virus Influenza A H1N1.
Namun, kehadiran virus punca selesema babi ini bukan satu-satunya ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.
Seperti mana yang telah dimaklumkan pihak berwajib, antara mereka yang paling berisiko mengalami komplikasi akibat H1N1 adalah pesakit yang menghidap penyakit kronik.
Pesakit sebegini bukan sahaja bergantung hidup kepada ubat, kesan penyakit dan pengambilan ubat itu sendiri telah meninggalkan kesan sehingga pertahanan badan menjadi lemah.
Penyakit kronik juga kini semakin mengatasi kehadiran penyakit berjangkit memandangkan kesan berpanjangan dan berterusan penyakit-penyakit berkenaan.
Ruji ubat
Bagi kebanyakan pesakit kronik, ubat boleh dikatakan antara makanan ruji bagi mereka, yang perlu diambil sepanjang masa, mengikut keperluan dan tahap kesihatan masing-masing.
Pergantungan kepada ubat bukan sahaja telah merantai pesakit kepada satu cara kehidupan khusus, mereka juga menghadapi kesukaran melakukan perkara biasa yang dianggap remeh oleh individu yang sihat dan kuat.
Ubat yang diambil juga kadangkala meninggalkan kesan negatif ke atas badan tetapi tetap perlu diambil bagi mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.
Dalam situasi pergantungan kepada ubat, amalan wajib seperti berpuasa di bulan Ramadan juga menghadapi kesukaran.
Menahan dari lapar dan dahaga antara 10 hingga 13 jam selama 30 hari tidak begitu mudah bagi mereka yang bergantung kepada pengambilan ubat untuk mengawal paras gula darah, tekanan darah, kesakitan kronik mahupun masalah sistem penghadaman.
Sehinggakan ada yang dinasihatkan, mahupun dilarang berpuasa sama sekali!
"Terdapat beberapa kumpulan utama pesakit yang tidak digalakkan atau tidak boleh berpuasa. Yang paling biasa dihebahkan adalah pesakit gastritis (gastrik) yang teruk dan penghidap penyakit kronik yang tidak terkawal.
"Bagaimanapun, pesakit yang perlu mengambil ubat pada masa atau situasi khusus juga tidak terke cuali. Puasa juga tidak digalakkan bagi pesakit yang mungkin membahayakan diri akibat kekurangan air atau nutrien," jelas Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC).
Menurut beliau, pesakit gastrik yang teruk mungkin tidak mampu berpuasa walaupun cuma untuk beberapa jam.
Penghidap penyakit kronik tidak terkawal pula biasanya melibatkan diabetes atau tekanan darah tinggi (hipertensi) yang teruk.
"Penghidap diabetes yang mengambil insulin menjadi contoh pengguna ubat pada masa yang khusus.
"Ini kerana pengambilan insulin kebiasaannya perlu diikuti dengan pengambilan makanan supaya kandungan gula dalam darah tidak terlalu rendah," katanya.
Tambah Dr. Abdul Malik, selain tiga kumpulan tersebut, pesakit yang menghadapi risiko bahaya ke atas kesihatan diri dan nyawa juga perlu menimbangkan pilihan berpuasa atau tidak.
"Sebagai contoh, pesakit yang muntah dan cirit kehilangan banyak air. Pesakit yang dijangkiti denggi dan mereka yang demam juga memerlukan air secukupnya.
"Oleh itu, mereka tidak digalakkan berpuasa sehinggalah penyakit tersebut tidak lagi membahayakan nyawa," tegasnya.
Puasa ubat
Dr. Abdul Malik menerangkan bahawa pengambilan ubat di kalangan pesakit kini lebih ringkas dan mudah berbanding beberapa tahun sebelumnya.
"Kebanyakan syarikat farmasi kini cuba mengurangkan bilangan ubat yang perlu diambil pesakit setiap hari.
"Langkah ini bukan sahaja untuk meringkaskan dan memudahkan pesakit mengambil ubat, malahan dapat meningkatkan kepatuhan pesakit kepada jadual rawatan dan dos ubat yang diperlukan."
Beliau menjelaskan pesakit yang hanya perlu mengambil ubat sekali atau dua kali sehari juga kurang menghadapi masalah untuk berpuasa.
"Golongan ini boleh mengalihkan pengambilan ubat di waktu pagi, ketika sahur, dan malam, ketika berbuka," katanya.
Sementara itu, penghidap penyakit kronik yang dapat mengawal perkembangan penyakit tersebut juga kini mampu berpuasa.
Dr. Abdul Malik menyatakan pesakit diabetes yang terkawal kini boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.
"Kebiasaannya pesakit diabetes mengambil dua dos ubat setiap hari, dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.
"Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.
Beliau menjelaskan dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil untuk bersahur.
Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis, ketika berbuka puasa.
Perkembangan semasa juga memungkinkan pesakit diabetes yang bergantung kepada insulin untuk menyesuaikan pengambilannya pada waktu sahur dan berbuka.
Dari segi pengambilan antibiotik pula, Dr. Abdul Malik memaklumkan bahawa hanya tinggal satu atau dua jenis antibiotik yang perlu diambil sehingga empat kali sehari.
"Kebanyakan antibiotik baru hanya memerlukan pengambilan satu atau dua kali sehari, dengan tumpuan kepada pesakit mematuhi arahan pengambilan ubat."
Kesan puasa
"Bila bulan puasa (Ramadan) tiba, (kawalan) gula saya memang cantik."
Itu menjadi antara ayat lazim pesakit yang dimaklumkan kepada Dr. Abdul Malik.
Beliau mengakui paras gula pesakit diabetes biasanya lebih mudah terkawal di bulan puasa (Ramadan), terutamanya jika mereka tidak melahap makanan yang manis dan tinggi karbohidrat ketika berbuka.
"Kekurangan jumlah dan waktu makan turut mengurangkan pergantungan kepada ubat untuk mengawal paras gula pesakit.
"Bagaimanapun, pesakit diabetes perlu berhati-hati ketika berbuka memandangkan menjadi satu kebiasaan pengambilan banyak makanan manis ketika berbuka," tegasnya.
Pelbagai pilihan makanan di bazar Ramadan mungkin akan merambangkan mata. Banyak kuih yang dijual sama ada manis atau tinggi kandungan karbohidrat.
Amalan pemakanan tempatan bagaimanapun menunjukkan kuih yang manis ini menjadi antara hidangan wajib ketika berbuka.
Dr. Abdul Malik menekankan bahaya jika pesakit diabetes mengambil terlalu banyak makan manis ketika berbuka puasa.
"Walaupun pesakit diabetes boleh mengambil ubat selepas berbuka, adalah lebih baik jika mereka mengambil makanan secara sederhana.
"Amalkan mengambil makanan dalam jumlah kecil, sekadar untuk merasa, dan kalau boleh elakkanlah makanan yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah."
Beliau turut menggalakkan pengambilan roti atau nasi bersama sayur segar, di samping buah-buahan segar bagi memastikan tahap kesihatan pesakit terjaga.
"Bersahur amatlah digalakkan untuk penghidap penyakit kronik. Jika tidak berselera, cukuplah dengan memakan sedikit roti bersama ubat.
"Jika bangun cuma untuk makan ubat sahaja juga boleh. Bagaimanapun, pastikan makan sedikit jika mengambil ubat untuk diabetes atau ubat tahan sakit (memberi kesan kepada perut)," katanya.
Selain ubat dan menjaga pemakanan, pesakit juga boleh mengamalkan sedikit senaman ringkas.
"Senaman boleh dilakukan sebelum atau ketika hampir waktu berbuka, senaman ringan seperti aerobik ataupun berjalan.
"Senaman juga boleh dilakukan selepas waktu berbuka, iaitu di waktu malam. Pesakit bagaimanapun tidak digalak melakukan senaman berat kerana dikhuatiri kehilangan banyak air, sehingga menjejaskan badan!"
Patuhi arahan
Walaupun puasa bagi penghidap penyakit kronik bukan semudah untuk individu sihat, perkembangan perubatan kini membolehkan pesakit berpuasa tanpa masalah besar.
Bagaimanapun, Dr. Abdul Malik mengingatkan pesakit supaya tidak mengabaikan pengambilan ubat di bulan puasa.
"Jika terlupa mengambil ubat di waktu berbuka, tidak membawa masalah besar (banyak masa sehingga sahur).
"Tetapi, jika tertinggal ubat di waktu sahur, mungkin ada sedikit masalah (perlu tunggu sehingga waktu berbuka)."
Walaupun kesan terhadap diri pesakit hanya jelas selepas beberapa kali atau beberapa hari tidak mengambil ubat, pesakit tidak sepatutnya terus menerus 'terlupa' pengambilan ubat.
"Pesakit masih boleh berpuasa jika terlupa mengambil ubat sekali, tapi jangan dibuat selalu, jangan jadikan amalan," tegasnya.
Beliau turut menyarankan pesakit yang menghidap gastrik, pada hari biasa atau ketika Ramadan, untuk berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah besar dalam sistem penghadaman.
Jadual pengambilan ubat di bulan puasa juga tidak boleh dibuat sesuka hati. Dr. Abdul Malik menegaskan setiap pesakit perlu mendapatkan pandangan dan nasihat doktor pakar terlebih dahulu sebelum mengatur semula masa dan cara pengambilan ubat untuk berpuasa.
"Sebaik-baiknya, jumpa doktor dahulu untuk bertanya bagaimana mengubah cara pengambilan ubat semasa bulan puasa, mengikut keperluan individu pesakit dan penyakit yang dihadapi."
Perubahan rawatan ketika bulan puasa bukan sahaja melibatkan peralihan waktu mengambil ubat, malahan mungkin melibatkan penukaran jenis ubat.
Doktor mungkin akan memberikan ubat yang tidak perlu diambil dengan kerap, bersesuaian dengan situasi ketika berpuasa.
Tidak kira dari segi pengambilan ubat, pemakanan dan senaman, tujuan utama adalah untuk pesakit terus mengawal situasi kesihatan mereka, di bulan Ramadan atau hari-hari biasa.
Sebarang perubahan negatif bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan dan ketahanan badan, malahan akan mendedahkan pesakit kepada risiko penyakit lain seperti selesema babi.
Ingat, virus H1N1 dan banyak kuman lain lebih mudah menjangkiti dan juga menyebabkan komplikasi di kalangan penghidap penyakit kronik yang mengabaikan kesihatan mereka.
Oleh itu, sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab terhadap rawatan serta tahap kesihatan diri.
Jadikanlah amalan berpuasa satu cara menguat dan memulihkan badan, tanpa mengabaikan sebarang bentuk rawatan dan perlindungan diri, terhadap sebarang ancaman jangkitan dan penyakit lain.